
Laporan/foto: Ismail Hassan/Suraya Baharudin (Kota Setar)
ALOR SETAR, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah menganjurkan Program Konvoi Singgah Sahur bertujuan mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti, selain menyantuni petugas yang bertugas pada waktu malam pada bulan Ramadan.

Konvoi Singgah Sahur JPJ turut menyantuni petugas barisan hadapan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah sebagai tanda penghargaan atas khidmat mereka yang bertugas pada waktu malam sepanjang Ramadan.
Program bermula sekitar jam 12 tengah malam di perkarangan Pejabat JPJ Negeri Kedah, Suka Menanti, kelmarin menghimpunkan hampir 70 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, NGO serta kelab permotoran yang bersama-sama menjayakan konvoi bagi menyampaikan sumbangan makanan sahur dan menzahirkan penghargaan kepada mereka yang berkhidmat pada waktu malam.
Konvoi berkenaan bergerak ke beberapa lokasi terpilih sekitar bandar raya ini termasuk Rumah Asnaf Jalan Pegawai, Balai Bomba Alor Semadom, Balai Polis Alor Setar serta Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah.
Sepanjang kunjungan, peserta berpeluang menyantuni anggota bomba, polis serta petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas, selain menyampaikan bakul Rahmah berbentuk makanan asas kepada golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki sempena Ramadan.
Program turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly Ramli serta Pengarah JPJ Negeri Kedah, Stien Van Lutam, sebagai tanda sokongan pihak pengurusan tertinggi terhadap usaha kebajikan dan kemasyarakatan jabatan itu.

Para peserta berkumpul menikmati sahur bersama sebelum bersurai sekitar jam 3.00 pagi bersama Ketua Pengarah JPJ dan Pengarah JPJ Negeri Kedah Stien Van Lutam.
Seorang peserta mewakili Gabungan Kelab Permotoran Negeri Kedah Rusmiza Mansor, 47, berkata program seumpama itu memberi pengalaman bermakna kerana dapat bersama-sama menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.
“Program seperti ini memberi peluang kepada kami untuk turun padang dan bertemu sendiri dengan petugas barisan hadapan yang sentiasa komited menjalankan tugas walaupun pada waktu malam,” katanya.
Program berakhir di Dataran Medan Bandar Alor Setar berhampiran Masjid Zahir apabila para peserta berkumpul bagi menikmati sahur bersama sebelum bersurai sekitar jam 3 pagi.
Penganjuran Konvoi Singgah Sahur bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, NGO serta komuniti setempat, malah menyemai nilai keprihatinan, kebersamaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat sepanjang Ramadan.
-RI





