Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SADA Laksana Sembilan Projek Bernilai RM337 Juta Perkasa Pembangunan Sri Aman

By 12 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim / UKAS (Sri Aman)

SRI AMAN, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) akan melaksanakan sembilan projek pembangunan bernilai RM337 juta tahun ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan luar bandar di Bahagian Sri Aman.

Rohani menyampaikan ucapan yang menekankan pelaksanaan sembilan projek pembangunan bernilai RM337 juta bagi tahun 2026.

Pengerusi SADA Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata projek tersebut merupakan sebahagian daripada 80 projek pembangunan yang dicadangkan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 12 projek telah siap sepenuhnya manakala selebihnya kini berada pada peringkat reka bentuk akhir.

“Keutamaan tahun ini adalah meningkatkan kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur kritikal seperti jalan raya, jambatan dan jalan ladang untuk menghubungkan kampung serta rumah panjang yang masih terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa SADA bersama rakan strategik di Tandang Sari Avenue, di sini kelmarin.

Antara projek utama yang dirancang ialah pembinaan jambatan dan jalan raya sepanjang enam kilometer dari Engkeranji ke Gunung Lesung dengan kos RM80 juta.

Menurut Rohani, projek tersebut dijangka membuka potensi Gunung Lesung Eco-Tourism sebagai produk pelancongan baharu di bawah inisiatif pembangunan SADA.

Tambah beliau, projek Perlindungan Hidupan Liar Orang Utan di kawasan berkenaan turut diberi perhatian sebagai usaha memelihara alam semula jadi di samping menyokong pembangunan ekonomi hijau.

Dalam pada itu, Rohani menegaskan kerjasama antara agensi pelaksana, pihak media serta komuniti setempat amat penting bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Apabila projek pembangunan ini dapat disiapkan mengikut jadual, ia akan memberi manfaat besar kepada komuniti setempat khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Bahagian Sri Aman,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda