
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)
BACHOK, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Glamping Pantai Kuala Gel di Bachok mula dibuka secara berperingkat sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan perkhemahan mewah, sekali gus berpotensi menjadi tarikan baharu ekopelancongan di daerah ini.

Mohd Zaki ketika memberi ucapan pelancaran awal di dek jamuan sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian.
Pembangunan destinasi ini selari dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menekankan keindahan alam semula jadi serta pengalaman pelancongan santai dan lestari.
Bachok memiliki kira-kira 32 kilometer jajaran pantai, dan Pantai Kuala Gel merupakan antara lapan pantai utama yang dikenal pasti mempunyai nilai tarikan pelancongan.
Keunikan Pantai Kuala Gel turut diperkaya dengan kedudukannya yang bersebelahan tinggalan kubu Jepun, sekali gus menambah elemen sejarah dan nilai edukasi kepada pengunjung.
Menurut Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff, projek pembangunan ini melibatkan peruntukan RM500,000 di atas kawasan seluas empat ekar, dengan 1.8 ekar telah siap dibangunkan manakala baki 2.2 ekar akan dilaksanakan secara berperingkat.

Meja di pokok yang menjadi tempat untuk bersantai bersama keluarga.
“Antara komponen utama yang telah disiapkan ialah pintu gerbang utama, pagar kalis cuaca dan angin laut, laluan pejalan kaki sepanjang 515 meter, rumah pokok, dek jamuan serta buaian gergasi,” katanya ketika ucapan pelancaran awal, di sini baru-baru ini.
Beliau menambah projek ini bukan sahaja menawarkan pengalaman rekreasi yang unik, malah memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui peningkatan aktiviti pelancongan.
Inisiatif ini diharap dapat merancakkan sektor pelancongan Bachok serta menjadikan Glamping Pantai Kuala Gel sebagai destinasi ekopelancongan pilihan di Kelantan.
-RI





