
Laporan/foto: Nor Hidayah Ismail/Ley Chee How (Meradong)
BINTANGOR, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong telah diadakan di sini hari ini.

Ding Kuong Hiing berkata inisiatif SKAS dapat membantu meringankan beban penerima serta memenuhi keperluan asas harian mereka.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurut beliau, inisiatif Kerajaan Sarawak itu bertujuan membantu golongan memerlukan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup khususnya di kawasan Meradong.
Katanya, program SKAS mengekalkan tiga kategori penerima berdasarkan tahap pendapatan isi rumah.
“Isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah menerima bantuan RM950 setahun, warga emas tanpa pasangan RM500 setahun manakala golongan bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah menerima RM300 setahun,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima serta membantu memenuhi keperluan asas harian mereka,” katanya.
Bantuan SKAS akan disalurkan secara berperingkat pada Mac, Mei dan November 2026.
Semakan kelayakan bagi bantuan tersebut telah dibuka bermula 7 Mac 2026.
-RJ-





