
Laporan/foto: Senie Endin (Betong)
BETONG, 12 Mac (MalaysiaAktif) — Pejabat Daerah Betong dengan kerjasama Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Betong menganjurkan Program One Stop Committee (OSC) di Dewan Panglima Rentap bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.
Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Betong, Dayang Nurhanim Abang Ramlan berkata program itu bertujuan membanteras serta mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.
“Program OSC ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang bahaya dadah serta menggalakkan komuniti memainkan peranan penting bersama agensi kerajaan dalam usaha pencegahan,” katanya semasa program itu, semalam.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian diadakan termasuk ceramah bahaya dadah dan trend semasa oleh Hillary Intar Kunul dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, ceramah kes rogol dan jenayah siber oleh Insp Ahmad Fahmi serta perkongsian oleh Roy Dilang dari Pejabat Kesihatan Bahagian Betong mengenai tanda awal masalah psikologi seperti kemurungan yang boleh mendorong aktiviti tidak bermoral.

Hillary Intar menyampaikan ceramah berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah kepada peserta Program OSC di Betong.
Program itu turut memberi pendedahan mengenai peranan agensi kerajaan dalam membantu penagih dadah mendapatkan rawatan dan pemulihan selain meningkatkan kesedaran terhadap kesan negatif penyalahgunaan dadah kepada individu, keluarga dan komuniti.
Pejabat Daerah Betong menggalakkan penglibatan pemimpin komuniti, pelajar sekolah serta penduduk setempat bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah di peringkat akar umbi.
Melalui program ini, pihak penganjur berharap masyarakat lebih sedar bahawa dadah merupakan musuh nombor satu negara dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan membanteras penyalahgunaan dadah.
Seramai kira-kira 100 orang hadir termasuk ketua masyarakat, ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta komuniti setempat.
-RJ-





