Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

‘Ketupat Palas BY KAK SARAH’ Terus jadi Rebutan

By 12 Mac 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/Anuar Che Amat

KANGAR, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Permintaan terhadap juadah warisan jenama ‘Ketupat Palas BY KAK SARAH’ hasil seorang pengusaha kecil di Kampung Simpang Sanglang sentiasa menjadi pilihan orang ramai khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

Sarah Cek Man, 63, atau lebih dikenali sebagai Kak Teh, yang telah berkecimpung dalam perusahaan ketupat palas sejak 15 tahun lalu kini mampu memenuhi tempahan pelanggannya termasuk luar negeri Perlis iaitu Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Kak Teh sedang membuat demo cara ‘tanak’ pulut hitam, antara variasi ketupat palas.

“Permintaan ketupat palas setiap tahun memang sangat menggalakkan, terutama menjelang Aidilfitri. Sehingga 20 Ramadan ini, telah menghasilkan kira-kira sekitar 1,000 kilogram ketupat palas bagi memenuhi tempahan pelanggan.

“Terdapat empat variasi ketupat palas yang dihasilkan iaitu ketupat palas pulut, ketupat palas pulut hitam, ketupat palas jagung dan ketupat palas kacang yang masing-masing mempunyai cita rasa tersendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Simpang Sanglang, di sini semalam.

Menurutnya, proses penyediaan ketupat palas memerlukan kemahiran khusus terutama dalam teknik membalut menggunakan daun palas bagi memastikan ketupat yang dihasilkan mempunyai tekstur yang baik serta tahan lama selepas dimasak.

Katanya, antara panduan penting membalut ketupat palas ialah memastikan ikatan daun menjadi ‘ketupat jantan’ agar balutan lebih kemas dan tidak membenarkan air masuk ketika proses merebus atau di kukus.

“Jika ikatan menjadi ‘ketupat betina’, air akan mudah masuk ke dalam ketupat dan menyebabkan teksturnya berubah menjadi lembik serta kurang rasa,” jelasnya.

Tambahnya lagi, keunikan ketupat palas yang dihasilkan juga terletak pada penggunaan santan segar yang diparut hanya ketika hendak memasak bagi memastikan rasa yang lebih lemak dan asli.

Empat variasi ketupat palas.

Selain itu, katanya penjagaan daun palas juga memainkan peranan penting bagi memastikan kualiti ketupat kekal baik.

“Biasanya daun palas yang telah dibuka akan disimpan atau dibekukan terlebih dahulu supaya kualitinya kekal baik dan lebih mudah digunakan ketika proses membalut ketupat,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Simpang Sanglang, Norwani Md Ali, 59, berkata ‘Ketupat Palas BY KAK SARAH’ sememangnya mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Ketupat palas ini sudah lama menjadi antara juadah pilihan masyarakat terutama ketika musim perayaan kerana rasanya yang asli serta cara penyediaannya yang masih mengekalkan kaedah tradisional seperti penggunaan santan segar,” katanya.

Perusahaan kecil yang diusahakan Kak Teh bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi keluarga, malah turut menyumbang kepada usaha mengekalkan makanan tradisional sebagai sebahagian daripada warisan budaya masyarakat tempatan.

-RI

Tinggalkan komen anda