Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Iftar Perdana Malaysia-Thailand Eratkan Hubungan Dua Hala di Baling

By 12 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Program Iftar Perdana Bilateral Malaysia-Thailand Peringkat Daerah Baling yang menghimpunkan komuniti tempatan bersama delegasi dari Betong, Thailand semalam menjadi platform memperkukuh hubungan dua hala di peringkat akar umbi.

Program di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling itu mempertemukan pemimpin dan masyarakat kedua-dua kawasan sempadan bagi mengeratkan silaturahim serta memperkasa kerjasama komuniti melalui aktiviti berbuka puasa dan program kebajikan yang disertai kira-kira 2,000 orang dari Pekan Baling dan kawasan sekitarnya.

Pegawai Daerah Baling bersama Delegasi Thailand di astaka khas untuk Majlis Berbuka Puasa

Pegawai Daerah Baling Yazlan Sunardie Che Yahaya merakamkan penghargaan kepada delegasi dari Betong atas kesudian hadir serta menegaskan bahawa program tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan erat antara komuniti di kedua-dua negara.

“Kehadiran delegasi dari Betong pada hari ini amat kami hargai. Ia bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah serumpun, malah membuktikan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memperluas jaringan kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata penganjuran program seumpama itu mampu menyemai nilai perpaduan, toleransi dan semangat kejiranan merentas sempadan, selain menjadi medium mempereratkan hubungan antara Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Datuk Bandar Betong, Chai Vongnittayalup, turut meluahkan rasa kagum terhadap keunikan budaya Malaysia termasuk kepelbagaian juadah berbuka puasa serta keramahan masyarakat setempat yang menerima kunjungan mereka dengan penuh mesra.

Penganjuran Iftar Perdana Bilateral Malaysia-Thailand ini dilihat sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh hubungan komuniti kedua-dua negara, sekali gus menyemai semangat perpaduan, keharmonian dan kerjasama serantau yang lebih erat pada masa hadapan.

-AA-

Tinggalkan komen anda