
Laporan/foto: Aini (Perlis)
KANGAR, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Menjelang Aidilfitri, permintaan terhadap perkhidmatan pembersihan rumah meningkat ketara apabila semakin ramai masyarakat memilih menggunakan khidmat profesional bagi memastikan kediaman berada dalam keadaan bersih dan selesa sebelum menerima tetamu.
Menurut wakil kepada pemilik syarikat NUME Cleaning & Services, Nurul Hidayah Shuit, 40, tempahan sepanjang musim perayaan meningkat hampir dua hingga tiga kali ganda berbanding bulan biasa.

Servis perkhidmatan pembersihan ini membantu pemilik yang tidak berkesempatan membersihkan kediaman.
“Menjelang Aidilfitri, permintaan servis pembersihan meningkat hampir tiga kali ganda kerana ramai pelanggan mahu memastikan rumah mereka benar-benar bersih, selesa dan bersedia menerima tetamu pada hari raya,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Beliau berkata pada bulan biasa syarikatnya menerima sekitar 30 hingga 50 tempahan seminggu dengan kekuatan pekerja seramai 10 orang, namun jumlah itu boleh meningkat kepada sekitar 80 hingga 100 tempahan apabila menghampiri musim raya.
Tambahnya, perkhidmatan yang paling mendapat sambutan ialah deep cleaning yang melibatkan pembersihan menyeluruh termasuk lantai, kabinet dapur, tandas, kipas dan tingkap.
Selain itu, tempahan mencuci sofa, karpet dan tilam juga meningkat bagi memastikan setiap ruang rumah lebih bersih dan segar.
Menurutnya, kebiasaannya tempahan mula penuh seawal awal Ramadan sehingga menjelang Syawal, justeru pelanggan digalakkan membuat tempahan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal bagi mengelakkan kehabisan slot.
Peningkatan permintaan setiap kali musim perayaan menunjukkan perkhidmatan pembersihan rumah kini semakin diterima masyarakat, selain turut membuka peluang menambah pendapatan kepada komuniti setempat.
-RI





