
Laporan/foto: Felix Harus/Jackson Abell (Bau)
BAU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Paku Rock Maze Garden atau Taman Labirin Batu Paku yang terletak berhampiran pekan Bau menjadi destinasi unik yang menarik perhatian pengunjung kerana keindahan formasi batu kapur semula jadinya.
Kawasan ini menampilkan struktur batu kapur yang terbentuk hasil proses hakisan semula jadi selama ribuan tahun sehingga menghasilkan lorong sempit dan arca batu yang menyerupai sebuah labirin semula jadi.

Laluan memukau di tengah labirin batu purba di dalam Paku Rock Maze Garden.
Pengunjung berpeluang menyusuri laluan pejalan kaki, jambatan kayu serta laluan konkrit yang disediakan sambil menikmati suasana hutan tropika yang redup dan tenang di celah dinding batu kapur yang tinggi.
Penjaga kawasan tersebut, Choo Chui Yung, 57, berkata keunikan kawasan berkenaan menjadikannya antara tarikan alam semula jadi yang semakin mendapat perhatian pengunjung.
“Tempat ini bukan sekadar taman batu biasa, tetapi khazanah alam yang perlu dipelihara bersama,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif semalam.

Choo Chui Yung (kiri) ketika ditemu bual oleh Malaysia Aktif berkongsi cerira dan keunikan budaya tempatan.
“Kami sentiasa memastikan kebersihan dan keselamatan laluan terjaga supaya pengunjung dapat merasai pengalaman menyusuri labirin ini dengan selesa,” katanya.
Menurutnya, kawasan tersebut turut mempunyai nilai sejarah dan spiritual tempatan dengan kewujudan sebuah tokong kecil dikenali sebagai Shi Wang Gong berhampiran pintu masuk taman.
Beliau berharap lebih ramai pelancong luar berkunjung ke Bau bagi mengenali keunikan geologi serta keindahan alam semula jadi yang terdapat di daerah ini.
-RJ-





