
Laporan/foto: Amiruddin Adli
KUALA TERENGGANU, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 100 anak yatim diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) yang berlangsung di Permai Hotel Kuala Terengganu, kelmarin.

Abdul Karim ketika menyampaikan ucapan
Majlis penuh bermakna itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut, bersama barisan Pengurusan Besar Kanan serta pengurus-pengurus jabatan syarikat berkenaan.
Program tersebut dianjurkan bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik khususnya anak-anak yatim sempena Ramadan, selain menyampaikan sumbangan duit raya sebagai tanda keprihatinan SATU dalam membantu persiapan Aidilfitri.

Penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim
Menurut Abdul Karim, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta berkongsi rezeki dengan komuniti setempat.
“Ramadan adalah bulan untuk kita memperkukuh silaturahim dan berkongsi kegembiraan bersama mereka yang memerlukan. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat menceriakan anak-anak yatim dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri rakan-rakan media serta pengguna besar SATU yang bersama-sama memeriahkan suasana berbuka puasa dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
-AA-





