Skip to main content
Berita UtaraKedah

Ex-BAYU – Latihan Amal dan Pelan Evakuasi Bencana Kebocoran Gas Perkukuh Tahap Kesediaan Dan Keselamatan

By 15 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zurina Saad/Nor Shameiza Abd Razak

SUNGAI PETANI, 15 Mac (MalaysiaAktif) – Latihan amal bencana kebocoran gas telah dilaksanakan di Taman Seri Bayu di sini, semalam bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi keselamatan, pasukan penyelamat serta komuniti setempat dalam menghadapi kemungkinan insiden melibatkan bahan berbahaya.

Pasukan keselamatan yang terlibat ketika menjalankan latihan amal

Latihan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan kesihatan serta agensi berkaitan bagi menguji kecekapan prosedur tindak balas pantas sekiranya berlaku kebocoran gas di kawasan penempatan awam.

Senario latihan dimulakan dengan simulasi laporan kebocoran gas di kawasan perumahan yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk sebelum pasukan penyelamat melaksanakan operasi secara bersepadu melibatkan pemindahan mangsa dari kawasan berisiko, pengawalan perimeter keselamatan serta langkah segera untuk mengawal kebocoran gas.

Pengurus Kanan Operasi Petronas Wilayah Tengah/Utara, Norhaliza Amir Hamzah berkata latihan seumpama itu penting bagi memastikan setiap agensi memahami peranan masing-masing serta mampu bertindak secara tersusun dan berkesan sekiranya berlaku situasi kecemasan sebenar.

Tindakan pantas anggota keselamatan mampu menyelamatkan nyawa sekiranya kejadian benar-benar berlaku

“Melalui latihan ini, kita dapat menilai tahap kecekapan prosedur operasi standard (SOP), memperkukuh koordinasi antara agensi serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebocoran gas,” katanya.

Selain penglibatan agensi penyelamat, latihan itu turut memberi pendedahan kepada orang awam mengenai cara mengenal pasti tanda-tanda kebocoran gas, kaedah melaporkan insiden kepada pihak berkuasa serta tindakan segera yang perlu diambil bagi mengelakkan risiko kecederaan atau keracunan gas.

-AA-

Tinggalkan komen anda