
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Golongan belia daripada persatuan komuniti Cina di Sri Aman digalakkan untuk bersama-sama membantu kerajaan Sarawak merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata pelaksanaan PCDS 2030 merangkumi pembangunan sosial dan pendidikan demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Sokongan daripada belia pelbagai kaum termasuk komuniti Cina amat diperlukan bagi memperkukuhkan usaha kerajaan.
“Penglibatan belia amat penting kerana mereka merupakan tenaga penggerak utama dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina 2026 di sini, kelmarin.
Francis memberitahu kerajaan Sarawak sentiasa membuka ruang kepada golongan muda untuk menyumbang idea serta tenaga memandangkan mereka berperanan sebagai jambatan perpaduan kaum.
Golongan belia juga katanya perlu menjadi pemacu masa depan negeri yang dinamik dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini.
-RJ-





