
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 37 penduduk pelbagai peringkat usia diraikan dalam Majlis Tahlil dan Khatam Al-Quran di Masjid Lama Kampung Tengah Simanggang, semalam.
Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata penganjuran majlis itu bertujuan sebagai pengisian rohani sepanjang bulan Ramadan selain mengeratkan silaturahim.

Dayang Noorazah (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama barisan imam, bilal, petugas masjid, serta 37 orang peserta Majlis Tahlil dan Khatam Al-Quran.
Beliau berkata aktiviti keagamaan sebegini perlu terus diperkasa kerana kemampuannya menyemai nilai perpaduan dan mendekatkan masyarakat dengan ajaran Islam.
“Penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia membuktikan kesungguhan komuniti untuk memakmurkan masjid,” katanya kepada Malaysia Aktif pada majlis berkenaan.
Dayang Noorazah memberitahu program seumpama itu amat digalakkan kerana memberi ruang kepada masyarakat mendalami penghayatan Al-Quran selain mengimarahkan rumah Allah.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM2,000 bagi menjayakan majlis berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap kelangsungan aktiviti keagamaan di kawasan tersebut.
Penyampaian saguhati kepada imam, bilal, peserta khatam serta petugas turut diadakan bagi menghargai khidmat bakti mereka sepanjang bulan Ramadan pada majlis yang sama.
-RJ-





