
Laporan/foto: Felix Harus/Jackson Abell (Bau)
BAU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Sebanyak 62 pertubuhan dan agensi di kawasan Tasik Biru menerima Dana Projek-Projek Khas (MRP) berjumlah RM1,776,900 bagi fasa pertama tahun ini.
Peruntukan tersebut disalurkan bagi menyokong pembangunan komuniti serta penyelenggaraan infrastruktur setempat melalui agensi dan pertubuhan yang terlibat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep berkata peruntukan tersebut disalurkan bagi membantu organisasi berkenaan melaksanakan program tahunan serta menampung kos penyelenggaraan pejabat.
“Saya berharap agar dana ini dapat membantu serba sedikit dalam melancarkan gerak kerja organisasi masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan dana tersebut di Dewan Dayak Bidayuh National Association (DBNA) Cawangan Bau, kelmarin.
Beliau mengingatkan para penerima agar menggunakan peruntukan tersebut secara efektif dan amanah bagi memastikan pembangunan kawasan setempat terus mampan.
Langkah itu katanya mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan keperluan masyarakat akar umbi sentiasa diberi perhatian serta bantuan sewajarnya.
Penerima dana melibatkan pelbagai organisasi termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Turut menerima peruntukan tersebut ialah institusi keagamaan seperti gereja, masjid dan surau bagi menampung kos pengurusan serta program tahunan masing-masing.
-RJ-





