
Laporan/foto: Norhafiezah Abd Aziz/Stephen Jipolin Jouti (Penampang)
PENAMPANG, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Usia muda bukan penghalang bagi Eddy Addin Shah Maslan untuk menceburi bidang keusahawanan biarpun sekadar bermula sebagai peniaga kuih.
Menurut ibunya, Shafiqah Ain Dina Grace David, beliau menyokong penuh keputusan Eddy, 13, untuk berniaga secara konsisten berbanding sebelum ini sekadar mengumpul duit untuk membeli kasut larian.
“Eddy seorang yang sangat berdikari dan semangat kerajinan yang ditunjukkan betul-betul atas kerelaan sendiri tanpa perlu didorong oleh keluarga.
“Melihat dia berani memulakan sesuatu sehingga kini mampu menguruskan gerai sendiri di bazar adalah satu pencapaian besar bagi budak seusianya,” katanya ketika ditemui di Bazar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Inobong di sini pada Ahad.

Eddy melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di Bazar NADI Kampung Inobong.
Tambahnya, kewujudan bazar berkenaan membolehkan golongan remaja seperti Eddy menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih selesa.
Pengurus NADI Kampung Inobong Diandra Sandra D.M. berkata program Kidsventure yang dianjurkan memberi peluang kepada kanak-kanak mempraktikkan ilmu keusahawanan di luar persekitaran sekolah.
“Program ini memberi pendedahan awal dan membina keyakinan diri anak muda untuk berhadapan dengan pelanggan sebenar,” katanya.
-RJ-





