Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Bantuan RM2.1 Juta Beri Nafas Baharu Buat Pusat Pengajian Pondok YIK

By 17 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shafira Mat Hussin (Bachok)

BACHOK, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Peruntukan kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.1 juta memberi impak positif terhadap pembangunan Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kampung Telong, Kandis, sekali gus memperkukuh kemudahan pembelajaran institusi pengajian Islam tradisional itu.

Projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Ogos tahun lepas itu melibatkan kerja naik taraf prasarana utama termasuk pembaikan bangunan pejabat, penambahan penempatan pelajar berkonsepkan pondok, pembinaan unit tandas untuk masjid dan asrama, pemasangan lampu jalan serta penambahbaikan jalan dan landskap kawasan pondok.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Ismail Ishak berkata projek tersebut memberi manfaat langsung kepada pelajar dan tenaga pengajar dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.

“Kemudahan yang dinaik taraf membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian, manakala guru dapat mengajar dengan lebih berkesan,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Beliau memaklumkan jumlah pelajar kini seramai 188 orang, dengan kapasiti maksimum mencecah 350 pelajar pada satu-satu masa, melibatkan kemasukan pelajar bermula usia 16 tahun.

Selain pembangunan fizikal, inisiatif Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia turut memperkukuh kebolehpasaran serta kualiti pendidikan pelajar tahfiz.

Pembangunan ini diharap memastikan pusat pengajian pondok terus relevan, berdaya saing dan kekal unggul sebagai institusi pendidikan Islam di Kelantan.

-FN

Tinggalkan komen anda