
Laporan/foto: Zatul Iffah Wahab/Kubendiran (Kulim)
KULIM, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 300 golongan asnaf dari daerah Kulim dan Bandar Baharu menerima sumbangan sempena Majlis Sumbangan Aidilfitri 2026 yang berlangsung di Dewan Bandaran Kulim, di sini semalam.

Tunku Mahkota Kedah menyampaikan sumbangan kepada penerima
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Jemaah Dato’ Negeri Kedah bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang juga Presiden Jemaah Dato’ Negeri Kedah.
Dalam majlis itu, Permodalan Kedah Berhad melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Azad Jasmi turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk cek replika berjumlah RM65,828 sebagai tanda sokongan pihak korporat dalam membantu golongan asnaf.

Tunku Mahkota Kedah bergambar bersama penerima bantuan
Program ini diadakan bagi menyantuni serta berkongsi rezeki bersama golongan memerlukan agar mereka dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna serta menjadi platform dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin, agensi dan masyarakat setempat.
Inisiatif seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh semangat kebersamaan, keprihatinan dan nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.
-AA-





