
Laporan/foto: Safwanah Zulkopli (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan sebanyak 28 tan ayam segar bersamaan 14,000 ekor kepada penduduk di 29 masjid terpilih di Parlimen Permatang Pauh, semalam.

Agihan ayam percuma kepada penduduk setempat
Inisiatif murni itu jelas memberi impak besar kepada masyarakat setempat khususnya dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan mendapati, agihan yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak masjid dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berjalan lancar serta mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk.
Seorang penerima, Liza Abdullah, 57, dari Kampung Permatang Pasir meluahkan rasa terharu dan bersyukur atas keprihatinan yang ditunjukkan.
“Saya tahu fasal agihan ayam ni daripada jiran, lepas tu masjid pun ada umumkan. Alhamdulillah, memang rasa lega sangat sebab dapat bantu jimat sikit belanja raya. Insya-Allah nak buat rendang ayam pagi raya nanti, bolehlah makan ramai-ramai dengan keluarga,” katanya kepada Malaysia Aktif.
-AA-





