
Laporan/foto: Rizalman Daim (Balingian)
BALINGIAN, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Pembinaan sebuah masjid baharu di Kampung Sungai Alo Mukah bakal memenuhi keperluan ibadah penduduk di enam kawasan penempatan Kampung Seberang serta sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yaakub Arbi berkata kerajaan Sarawak sentiasa komited membawa pembangunan ke seluruh kawasan negeri ini termasuk di luar bandar.
“Pembinaan fasiliti rumah ibadat yang serba lengkap ini menjadi bukti jelas bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat tentang keperluan sosioagama serta kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Santuni Kasih Ramadan 1447 Hijri di Surau Darul Ibadah, di sini semalam.
Pengerusi Surau Darul Ibadah Kampung Sungai Alo, Yusuf Lai menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu rahmat serta rezeki yang dinantikan oleh komuniti setempat.
“Kami berharap agar pembinaan ini dapat disegerakan sepertimana yang telah diberitahu bagi meningkatkan syiar Islam di sini,” katanya.
Penduduk tempatan, Nurul Huda Kaziman, 41, turut menzahirkan rasa teruja dan berharap agar proses pembinaan masjid tersebut berjalan dengan lancar.
Beliau menjelaskan kemudahan itu nanti pasti dapat menampung keperluan jemaah dari enam buah kampung di kawasan seberang serta kawasan berdekatan.
-RJ-





