
Laporan/foto: Syaiful SAS (Rompin)/IPD Rompin
ROMPIN, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Polis Pahang memperhebat kempen keselamatan jalan raya dengan pelancaran Op Selamat 26 sempena Aidilfitri yang memberi penekanan kepada aspek keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.
Ketua Polis Pahang Dato’ Seri Yahaya Othman berkata Op Selamat bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai agar sentiasa memandu secara berhemah selain merancang perjalanan dengan lebih selamat.

Ketua Polis Pahang bersama Exco Kerajaan Negeri Pahang dan ketua-ketua jabatan daerah Rompin bergambar kenangan dengan jentera penguatkuasaan di Hentian Rawat dan Rehat Muadzam Shah
“Polis Pahang akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang musim perayaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengelakkan sikap tergesa-gesa yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan melalui Op Selamat bukan sahaja menumpukan kepada penguatkuasaan, malah turut memberi penekanan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Op Selamat 26 Peringkat Kontinjen Pahang di Hentian Rawat dan Rehat Muadzam Shah, di sini semalam.
-AA-





