
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Port Santai Along Kerang Rebus muncul sebagai antara tarikan utama moreh di Bandar Baharu sepanjang bulan Ramadan apabila menjadi tumpuan orang ramai setiap malam.

Pelbagai jenis kerang dan siput yang terdapat di sini setiap kali tibanya bulan Ramadan
Gerai yang beroperasi dari jam 6 petang hingga 1 pagi itu terkenal dengan hidangan kerang rebus yang dimasak segar setiap hari, sekali gus menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.
Pengusahanya, Qiarul Ikhwan berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan pelanggan tidak putus-putus sejak awal Ramadan.
“Kerang rebus memang menjadi pilihan utama pelanggan. Biasanya mereka akan makan bersama kuah kacang atau sos pencicah yang kami sediakan,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Selain menu utama itu, gerai berkenaan turut menawarkan beberapa hidangan sampingan bagi memenuhi citarasa pelanggan, sama ada untuk berbuka puasa atau moreh.

Menu utama kerang rebus sentiasa menjadi hidangan wajib di cuba
Seorang pengunjung, Azri Amir Mohd Yusof, 32, berkata kunjungannya ke gerai tersebut bersama rakan-rakan sudah menjadi rutin setiap kali Ramadan.
“Yang paling best bila makan kerang rebus panas-panas dan cicah dengan kuah kacang, memang sedap. Suasana pun santai, sesuai untuk lepak bersama kawan-kawan,” katanya.
Tinjauan mendapati gerai tersebut sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada waktu malam, menjadikannya antara lokasi pilihan untuk menikmati moreh di Bandar Baharu.
-AA-





