
Laporan/foto: Yusoffirman/FirdaufAlias (Temerloh)
TEMERLOH, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang yang bertemakan Moh Beraya @ Negeri Pahang itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri perkarangan Dewan Sri Lanchang seawal jam 9 pagi, di sini kelmarin.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dan mengambil gambar kenangan bersama Sultan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang
Berkenan berangkat ke majlis berkenaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, serta paduka anakanda termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penganjuran majlis rumah terbuka itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat menikmati juadah hari raya, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat.
“Alhamdulillah, makanan yang disediakan mencukupi dan ini memang menjadi hasrat kita supaya semua pengunjung dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri pada hari kedua Syawal,” katanya.

Para pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang pada hari raya kedua
Sementara itu, rata-rata pengunjung amat berpuas hati dengan sambutan rumah terbuka itu terutamanya dengan kemeriahan serta kepelbagaian juadah yang disediakan seperti sate, kambing bakar, laksa dan pelbagai lagi juadah yang melambangkan keunikan dan kemakmuran negeri Pahang.
Seorang pengunjung, Ismail Abas, 47, tidak menyangka keadaan akan meriah sebegini dengan kehadiran pengunjung dari segenap lapisan masyarakat dan umur.
“Saya dalam perjalanan ke Maran daripada Raub, kawan-kawan mengajak singgah, tak sangka meriah betul sambutan orang Temerloh sempena rumah terbuka ini”, ujarnya.
-AA-





