
Laporan/foto: Chan Suk Leng (Sibu)
SIBU, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Pasar Sentral Sibu terus berdiri kukuh sebagai simbol warisan dan nadi ekonomi masyarakat tempatan di tengah arus pemodenan pusat beli-belah moden.
Pasar basah terbesar di Malaysia ini bukan sekadar pusat jual beli malah melambangkan ketabahan komuniti yang bangkit selepas kebakaran besar pada tahun 1990.
Pasar Sentral Sibu kini berkembang menjadi mercu tanda tersusun yang menempatkan lebih 1,100 penjaja di bawah satu bumbung sejak mula beroperasi sekitar tahun 1960-an.

Gambar arkib memaparkan suasana kawasan penjaja di Pasar Sentral Sibu sekitar tahun 1960-an sebelum berkembang menjadi pusat perniagaan tersusun pada masa kini.
Bekas Pengerusi Penjaja Yiing Chung Ming, 60, berkata keunikan pasar ini bukan sahaja menarik penduduk tempatan malah turut mendapat perhatian peringkat antarabangsa.
“Antara tarikan unik ialah kaedah pembungkusan ayam hidup menggunakan surat khabar yang menjadi identiti tersendiri pasar tersebut,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Keunikan itu turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang berkenan melawat pasar ini semasa siri Kembara Kenali Borneo pada Sept 2023.

Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkenan melawat Pasar Sentral Sibu semasa siri Kembara Kenali Borneo pada Sept 2023 bagi meninjau keunikan produk tempatan dan menyantuni penjaja.
Lawatan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan pasar berkenaan sebagai destinasi pelancongan wajib di Sarawak.
Pengunjung disajikan dengan pelbagai hasil segar seperti makanan laut, daging serta buah-buahan tempatan yang dibawa dari kawasan pedalaman di tingkat bawah.
Pasar Sentral Sibu terus menjadi pilihan kerana menawarkan bahan mentah tradisional dan sayur-sayuran kampung yang sukar diperoleh di tempat lain.
Kesegaran dan keaslian produk tempatan menjadi faktor utama pelanggan setia terus berkunjung ke pasar ini walaupun berdepan persaingan pasar raya moden.

Pengunjung memilih pelbagai sayur-sayuran kampung dan hasil pedalaman yang dijual oleh penjaja tempatan di tingkat bawah Pasar Sentral Sibu.
Suasana di tingkat atas pula lebih meriah dengan deretan gerai makanan dan kraf tangan yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Sibu.
Medan selera di pasar ini menjadi tarikan utama pengunjung terutama pada hujung minggu apabila jumlah gerai meningkat sehingga 200 unit.
Pasar Sentral Sibu kekal hidup sebagai pusat perdagangan yang menghubungkan warisan lama dengan kehidupan moden hingga kini.
-RJ-





