
Laporan/foto: Chan Siew Fong (Sarawak)
KUCHING, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Kempen Derma Darah anjuran Federation of Chinese Associations (Youth Section) dengan kerjasama Hospital Umum Sarawak (HUS) mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat, semalam.
Program yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menderma darah.
Setiap beg darah yang didermakan berpotensi membantu lebih daripada seorang pesakit termasuk mangsa kemalangan dan individu yang menjalani pembedahan.
Pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Daerah Kuching Steven Teo berkata, penyertaan masyarakat amat penting dalam memastikan bekalan darah di bank darah sentiasa mencukupi.
“Setiap beg darah berupaya menyelamatkan beberapa nyawa selain memberi manfaat kesihatan kepada penderma seperti melancarkan peredaran darah,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang penderma, Maria, 25, berkata pengalaman menderma darah memberi kepuasan tersendiri kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.

Maria (kiri) antara penderma yang hadir meluangkan masa menyertai Kempen Derma Darah di sebuah pusat beli-belah di sini bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.
“Saya berharap lebih ramai tampil menderma darah dan tidak berasa takut kerana amalan ini baik untuk kesihatan diri,” katanya.
Kempen tersebut menyasarkan seramai 150 penderma bagi membantu menampung keperluan bekalan darah di hospital kerajaan.
Kehadiran orang ramai yang menggalakkan mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial dalam menyelamatkan nyawa.
-RJ-





