Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pelita Gergasi Pecah Rekod Dunia, Festival Pelita Raya 2026 Jadi Tumpuan

By 25 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)

ALOR SETAR, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Festival Pelita Raya 2026 yang berlangsung di Taman Jubli Emas sejak 10 Mac lalu berjaya menarik kehadiran pengunjung setiap malam bagi menikmati keindahan cahaya pelita sempena bulan Ramadan.

Pelita gergasi yang menjadi tarikan utama Festival Pelita Raya 2026 serta berjaya mencipta rekod baharu

Program yang diadakan sehingga 29 Mac ini menampilkan lebih 7,000 pelita terdiri daripada pelita besi yang disusun membentuk pelbagai replika menarik berunsurkan warisan tempatan seperti Masjid Zahir dan Menara Alor Setar.

Penganjuran festival ini bertujuan menghidupkan semula tradisi pemasangan pelita khususnya pada malam tujuh likur, selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat serta memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda.

Menurut Pengurus Festival, Azharani Osman, pelita gergasi yang dibina pada penganjuran kali ini telah berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records selain turut memecahkan rekod dunia.

“Pelita gergasi ini telah pun direkodkan dalam Malaysia Book of Records dan secara tidak langsung berjaya memecahkan rekod dunia yang sebelum ini dipegang oleh Alberta, Kanada menerusi World’s Largest Oil Lamp selama lebih 20 tahun,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah beliau, pencapaian tersebut menjadi satu kebanggaan bukan sahaja kepada penganjur, malah kepada negeri Kedah dan Malaysia secara keseluruhannya.

Lampu hiasan berbentuk bunga matahari dikenali sebagai bunga emoji yang dilengkapi skrin LED di bahagian tengah, menambah elemen moden dan interaktif dalam Festival Pelita Raya 2026

Festival ini turut menawarkan harga tiket yang berpatutan iaitu RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, selain setiap pembelian tiket melayakkan pengunjung menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta daripada jenama BMW.

Antara tarikan utama festival ini ialah pelita gergasi yang menjadi tumpuan pengunjung selain pelbagai aktiviti sampingan seperti pertunjukan cahaya, permainan kanak-kanak, pameran pelita serta cabutan bertuah yang menambah kemeriahan suasana.

Rata-rata pengunjung yang ditemui menyifatkan festival ini sebagai satu inisiatif yang kreatif dan wajar diteruskan kerana bukan sahaja menceriakan suasana, malah berpotensi menjadi produk pelancongan baharu di negeri Kedah.

Festival yang bermula seawal 7.30 malam hingga tengah malam ini turut memberi peluang kepada orang ramai untuk merakam kenangan bersama keluarga dalam suasana kampung yang diterangi cahaya pelita, sekali gus mengimbau nostalgia sambutan Aidilfitri suatu ketika dahulu.

-AA-

Tinggalkan komen anda