
Laporan/foto: Florence Sebastian/Remy Pisep (Saratok)
SARATOK, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Pembukaan Jambatan Sungai Krian menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar di Sarawak.
Projek tersebut menamatkan penantian panjang penduduk di kawasan Pusa dan Kabong yang sebelum ini bergantung kepada perkhidmatan feri.
Pembinaan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak ini melibatkan kos kontrak sebanyak RM112,499,580.09.

Kemudahan Jambatan Sungai Krian kini menawarkan rangkaian perhubungan yang lebih efisien bagi menggantikan perkhidmatan feri demi keselesaan penduduk di kawasan Pusa dan Kabong.
Jambatan sepanjang 1.227 kilometer itu merangkumi struktur utama sepanjang 690 meter dengan 12 span bagi memastikan kelancaran trafik.
Pembangunan rangkaian jalan pesisir ini dihubungkan dengan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sebagai mangkin transformasi ekonomi setempat.
Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi capaian lebih pantas terhadap kemudahan pendidikan serta kesihatan.
Penghulu Kamalludin Mohamad Rambli, 75, berkata kewujudan jambatan tersebut menamatkan kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri sebagai penghubung utama.
“Sebelum ini kami terpaksa beratur panjang dan menunggu lama untuk giliran feri namun kini perjalanan menjadi jauh lebih lancar,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, kelmarin.

Kamalludin menyifatkan pembinaan Jambatan Sungai Krian sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan infrastruktur luar bandar di Pusa dan Kabong.
Kamalludin memberitahu kemudahan itu memudahkan penduduk di Kabong untuk berulang-alik ke Pusa serta perjalanan terus menuju ke bandar Kuching.
Beliau menambah jambatan tersebut memudahkan logistik harian bagi membantu memasarkan hasil pertanian penduduk kampung.
Langkah itu sekali gus membuka ruang kepada perkembangan ekonomi baharu serta pembangunan di kawasan sekitar Sungai Krian.
Majlis Pra-pelancaran Jambatan Sungai Krian telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas pada 18 Mac lalu.
-RJ-





