
Laporan/foto: Dorothy Tuyoi/Gordon Akin (Sibu)
SIBU, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Khazanah warisan masyarakat Iban yang dikenali sebagai Anyaman Sungkup atau Sebayan semakin dilupakan di sebalik kesibukan deretan premis moden di Jalan Cross, di sini.
Anyaman tersebut merupakan simbol sakral yang memainkan peranan penting dalam upacara Gawai Antu sebagai ritual penghormatan terakhir kepada roh si mati.
Kesinambungan adat resam yang diwarisi turun-temurun ini kini berdepan ancaman kepupusan apabila semakin kurang individu memiliki kemahiran menghasilkannya.
Pengusaha kraf tempatan Sijah Ejut, 53, berkata proses menghasilkan Anyaman Sungkup memerlukan ketelitian serta pengalaman yang tinggi.
Beliau menjelaskan pembuatan kraf tersebut turut menuntut kekuatan dalaman kerana berkait rapat dengan elemen spiritual masyarakat Iban.

Sijah Ejut (kanan) menjelaskan bahawa proses menghasilkan Anyaman Sungkup memerlukan ketelitian tinggi serta kekuatan dalaman kerana berkait rapat dengan elemen spiritual masyarakat Iban.
Sijah yang mengusahakan Tuai Rumah Sijah Enterprise kini menjadi antara individu terakhir yang masih aktif menghasilkan anyaman berkenaan.
“Usaha ini bukan sekadar sumber pendapatan tetapi satu tanggungjawab besar dalam memastikan warisan nenek moyang terus dipelihara,” katanya kepada MalaysiaAktif, semalam.
Beliau bimbang seni tersebut mungkin akan hilang suatu hari nanti sekiranya tiada generasi pelapis yang sanggup mewarisinya.
Menurutnya, setiap Anyaman Sungkup dihasilkan dengan penuh teliti serta terbahagi kepada kategori set lelaki dan set perempuan.
Setiap set terdiri daripada sebelas komponen penting antaranya Ganai, Buah Limau, Topi Tunjang, Tangi, Rasok, Uyut, Pemansai, Tikai dan Garong.

Sijah menjelaskan usaha ini bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi satu tanggungjawab besar dalam memastikan warisan nenek moyang terus dipelihara.
Perbezaan set tersebut terletak pada item Selabit bagi lelaki manakala item Capan dikhasan untuk set perempuan.
Kesemua elemen berkenaan dianggap sebagai keperluan rohani dalam upacara Gawai Antu yang tidak boleh diganti dengan komponen lain.
Sijah turut memainkan peranan sebagai pemangkin ekonomi komuniti dengan mendapatkan bekalan kraf tangan daripada penduduk rumah panjang.
Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan penduduk malah memastikan kelangsungan seni warisan Sarawak terus terpelihara.
Usaha beliau wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda agar lebih menghargai serta memartabatkan seni tradisi Iban agar tidak lenyap ditelan zaman.
-RJ-





