
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)
BAU, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Polis ke-219 peringkat daerah Bau berlangsung dengan penuh semangat patriotik semalam bagi menghargai jasa serta pengorbanan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Bau Supt. Mohd Haide A. Rahman membacakan perutusan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang menyampaikan penghargaan atas pengorbanan semua anggota.
Beliau menjelaskan peranan polis bukan sahaja untuk menegakkan undang-undang malah bertujuan membina kepercayaan serta hubungan erat dengan masyarakat.
“Pengorbanan warga PDRM tidak ternilai dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Mohd Haide A. Rahman membacakan perutusan Ketua Polis Negara pada Sambutan Hari Polis ke-219 Peringkat Daerah Bau, semalam.
Mohd Haide menegaskan sambutan tahun ini menjadi platform terbaik untuk memperkukuh kerjasama polis dengan komuniti setempat selaras dengan konsep Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.
Majlis istiadat tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol serta Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willy Mongin.
Majlis turut menyaksikan penyematan pangkat kepada beberapa pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi serta prestasi cemerlang mereka.
-RJ-





