
Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/IPD Rompin
ROMPIN, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki tempatan maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 119.5 Jalan Kuantan–Johor Bahru, di sini awal pagi Selasa.

Lori jenis HINO dari arah Johor Bahru menuju ke Pekan turut mengalami kerosakan yang teruk akibat daripada pelanggaran tersebut
Dalam kejadian kira-kira waktu subuh itu, mangsa seorang lelaki berusia 28 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt. Sharif Shai Sharif Mondoi berkata siasatan awal mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Hino yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Pekan.
Menurutnya lagi, kereta Proton Saga yang dipandu mangsa pula datang dari arah Nenasi menghala ke Batu 3, Rompin.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang berada di laluan sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-AA-





