
Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah (Mukah)
MUKAH, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 20, Jalan Mukah-Balingian, di sini kira-kira 11 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata kemalangan melibatkan sebuah lori muatan baja seberat 25 tan dan sebuah motosikal.
Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berumur 36 tahun itu sedang bergerak dari arah simpang Jalan Metading menuju ke bandar Mukah.
“Motosikal yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba masuk ke laluan lori sebelum berlaku perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mangsa berumur 30 tahun dari Kampung Kuala Penipah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Mukah.
Muhamad Rizal berkata mangsa cedera parah di bahagian kepala serta tangan kiri manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp. Mohd Rahmat Jamin di talian 011-31627137 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya.
-RJ-





