Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kebakaran Hutan: Kerajaan Negeri Pahang Sedia Beri Kerjasama Penuh Kepada JBPM

By 27 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin ( Pekan)/JBPM Negeri Pahang

PEKAN, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Pahang akan memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kerja pemadaman kebakaran di Hutan dan Ladang di Agropolitan Tanjung Batu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dato’ Sri Nazri Abu Bakar berkata kerjasama itu termasuk mempercepatkan kelulusan keperluan logistik seperti jentera pengorek bagi memudahkan akses ke kawasan kebakaran.

“Kerajaan negeri memandang serius situasi ini dan komited memastikan operasi pemadaman berjalan lancar dan terkawal,” katanya selepas meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kejadian itu, di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Pekan Azora @ Ahmad Shamsudin dan Timbalan Pengarah JBPM Negeri Pahang Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman.

Nazri turut mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan agar menyegerakan permohonan penyewaan jentera pengorek kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang bagi memastikan operasi pemadaman dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, JBPM Negeri Pahang memaklumkan keperluan tambahan jentera pengorek bagi membantu kerja-kerja pemadaman, khususnya untuk membuka laluan ke kawasan terjejas.

Beliau turut menegaskan langkah pencegahan perlu dipertingkatkan bagi mengelak kejadian berulang, khususnya sepanjang musim kering ketika ini.

“Kesedaran masyarakat amat penting. Kita tidak mahu sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran lebih besar, apatah lagi dalam keadaan cuaca panas akibat fenomena El Nino,” ujarnya.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang supaya mempergiatkan program kesedaran serta penguatkuasaan kepada penduduk setempat sepanjang musim El Nino yang dijangka berterusan sehingga Jun 2026.

Hasil tinjauan mendapati kawasan kebakaran melibatkan tanah gambut yang lembap dan tidak stabil, sekali gus menyukarkan akses jentera ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi pemadaman.

Bagaimanapun, kebakaran dilaporkan tidak melibatkan kawasan ladang FELDA dan masih berada dalam keadaan terkawal tanpa menjejaskan penempatan penduduk berhampiran.

Bekalan air juga didapati mencukupi bagi menyokong operasi pemadaman yang sedang dijalankan.

Penilaian semasa menunjukkan risiko kebakaran merebak adalah tinggi terutama di kawasan Rompin berikutan keadaan tanah yang semakin kering serta kekurangan sistem pengairan berbanding Pekan yang masih terkawal.

-FN

Tinggalkan komen anda