
Laporan/foto: Jane Chua/Florence Sebastian (Saratok)
SARATOK, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Tradisi penjualan bunga durian di Pasar Tamu Saratok kembali menceriakan suasana pekan setiap kali tibanya musim berbunga.

Klang Inggol menunjukkan bakul berisi bunga durian segar yang dijualnya dengan harga RM3.00 sebakul di Pasar Tamu Saratok.
Peniaga Klang Inggol, 68, berkata jualan sayuran bermusim itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang meminati keunikan rasanya.
Beliau menjelaskan bunga durian perlu dikutip pada awal pagi bagi memastikan kesegarannya sebelum dibawa ke pasar untuk dijual.
“Bunga durian biasanya muncul sekali atau dua kali setahun menjadikannya antara hidangan yang paling dinanti ketika musimnya tiba,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif hari ini.
Klang memberitahu bekalan bunga durian yang segar sentiasa menjadi rebutan peminat makanan tradisional di daerah tersebut.
Pengunjung Nyelang Bilon, 59, berkata musim bunga durian amat dinantikan kerana beliau menggemari masakan berasaskan bahan itu yang sukar diperoleh pada waktu lain.
Beliau menjelaskan tekstur bunga durian yang unik menjadikannya sangat istimewa bagi peminat hidangan tradisional sejak dahulu lagi.

Hidangan bunga durian yang telah dimasak tumis menjadi antara menu tradisional kegemaran masyarakat setempat di Saratok kerana teksturnya yang unik.
“Bunga durian ini sangat sedap jika dimasak tumis dan merupakan hidangan kegemaran saya setiap kali musimnya tiba,” katany.
Bunga durian yang hanya boleh didapati dalam tempoh singkat itu terus menjadi pilihan utama masyarakat setempat sebagai hidangan istimewa.
Keunikan hasil hutan bermusim ini turut membantu meningkatkan pendapatan sampingan para peniaga kecil di Pasar Tamu Saratok.
-RJ-





