
Laporan/foto: Sobri Manan/Haizir Rahim (Langkawi)/Suhaidi Jusoh (Tanah Merah)
PUTRAJAYA, 29 Mac (MalaysiaAktif) – Cuaca panas dan kering yang berpanjangan sejak kebelakangan ini mendorong masyarakat di beberapa negeri mengambil inisiatif melaksanakan solat sunat istisqa sebagai usaha memohon hujan serta rahmat daripada Allah SWT.
Keadaan cuaca ekstrem yang melanda bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian, malah meningkatkan risiko kemarau, kebakaran, jerebu serta kesan terhadap kesihatan awam dan sumber air.

Imam Masjid Al-Hana Mohd Dzaher Saad memimpin Solat Sunat Istisqa di Langkawi, Kedah.
Di KEDAH, seramai kira-kira 150 jemaah terdiri daripada penduduk setempat, ketua jabatan serta wakil kerajaan menyertai program solat sunat istisqa yang diadakan di perkarangan Masjid Al-Hana, Kuah, Langkawi, Khamis lepas sebagai ikhtiar memohon hujan susulan cuaca panas dan kering yang berlarutan sejak sekian lama di daerah berkenaan.
Kehadiran memberangsangkan itu mencerminkan tahap kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap situasi semasa, di samping menunjukkan kebergantungan kepada kekuasaan Allah SWT dalam menghadapi ujian alam.
Imam Masjid Al-Hana Mohd Dzaher memimpin solat secara berjemaah tersebut.
Turut disusuli khutbah khas yang menekankan kepentingan memperbanyakkan istighfar, bertaubat serta meningkatkan amalan kebaikan dalam kehidupan seharian.
Para jemaah juga terus menadah tangan memohon agar Allah SWT mengurniakan hujan yang membawa rahmat kepada seluruh penduduk.
Seorang peserta, Ishark Saad, 54, berharap agar Allah SWT memperkenankan doa seluruh rakyat Malaysia, khususnya penduduk Langkawi, supaya dikurniakan hujan rahmat bagi meredakan cuaca panas yang melanda ketika ini.

Para jemaah Masjid Mukim Binjai Mu’taab, Pasir Mas, Kelantan sedang mendengar khutbah yang disampaikan Imam, Muhammad Afifi Muhammad Nor.
Sementara itu di KELANTAN pelaksanaan solat sunat istisqa turut diadakan kelmarin di Masjid Mukim Binjai Mu’taab, Chetok, Pasir Mas dengan penyertaan hampir 100 penduduk dari kampung berkenaan dan kawasan sekitar.
Program tersebut dilaksanakan selaras dengan arahan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang menggesa umat Islam memperbanyakkan munajat dan doa memohon rahmat Allah SWT.
Imam masjid berkenaan, Muhammad Afifi Muhammad Nor, 46, berkata hujan yang turun membawa rahmat kepada seluruh alam dan isinya.
“Apabila hujan diturunkan, bukan sahaja manusia mendapat manfaat, malah alam sekitar, haiwan dan tumbuh-tumbuhan turut terpelihara serta kembali segar,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Seorang penduduk, Hamzah Hussin, 86, pula berkata beliau tetap hadir bersama keluarga ke program itu meskipun terpaksa berpanas kerana yakin doa yang dipanjatkan secara berjemaah akan dimakbulkan.
Pelaksanaan solat sunat istisqa di kedua-dua lokasi ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh amalan spiritual dalam kalangan masyarakat, malah menyemai nilai kesabaran, keinsafan dan tawakal dalam menghadapi ujian cuaca, dengan harapan hujan rahmat akan segera diturunkan.
-FN





