
Laporan/foto: Muhamad Haizir/Sobri Manan (Langkawi)
LANGKAWI, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah bakal menawarkan pengajian program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)-AA075 (Eksekutif) bermula 4 April ini.
Rektor UiTM Cawangan Kedah Prof. Madya Dr. Mahazir Ismail berkata penawaran program itu hasil kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Beliau berkata kerjasama itu merupakan satu langkah strategik memandangkan LADA sebagai organisasi utama di Langkawi memerlukan penambahbaikan berterusan dari aspek kepakaran dan pembangunan modal insan.
“Sehubungan itu, pihak UiTM berhasrat untuk menawarkan program MBA di Langkawi sebagai platform memperkasa kemahiran profesional serta kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian memorendom persefahaman (MoU) antara UiTM Cawangan Kedah dengan LADA bagi penganjuran program berkenaan di institusi pendidikan tinggi tersebut, di sini semalam.
Majlis menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus menandatangani MoU bagi pihak LADA manakala UiTM diwakili oleh Mahazir.
Sementara itu, Iskandar berkata tempoh pengajian program selama dua tahun itu dibuka kepada seluruh warga Langkawi dengan pengambilan terhad kepada 20 peserta bagi memastikan kualiti pembelajaran yang optimum.
Program berkenaan akan dikendalikan barisan pensyarah dari UiTM Kedah serta Arshad Ayub Graduate Business School, merangkumi modul pembangunan kepimpinan, pengurusan strategik, keusahawanan dan kemahiran profesional yang relevan dengan keperluan industri semasa.
-RI





