Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

KKPB Promosi TVET, Bantu Lepasan SPM 2026 Rancang Masa Depan

By 3 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farah Shaherza (Kuantan) /KKKB

KUANTAN, 3 Apr (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan siri jelajah promosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seiring pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 pada Selasa lalu.

Siri jelajah promosi tersebut telah dilaksanakan secara bersemuka di beberapa buah sekolah sekitar daerah ini, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Lepar, SMK Beserah dan SMK Pelabuhan.

Pelajar SMK Beserah melihat karya mahasiswa Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan Kolej Komuniti Paya Besar.

Selain itu, usaha promosi turut diperkasakan menerusi penggunaan platform digital seperti TikTok dan Facebook rasmi KKPB bagi menarik minat golongan belia.

Inisiatif di bawah payung promosi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Pahang itu bertujuan memastikan lepasan SPM mempunyai akses kepada peluang pendidikan tinggi yang berkualiti serta inklusif, tanpa mengira tahap pencapaian akademik.

Pensyarah Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan KKPB Khairulnizam Md Hairuddin berkata TVET merupakan laluan penting bagi pelajar untuk mengasah kemahiran teknikal serta membuka peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang berkaitan.

Para pelajar SMK Pelabuhan yang mendapatkan info di reruai Kolej Komuniti Paya Besar.

“TVET menyediakan ruang kepada pelajar untuk membangunkan kemahiran yang diiktiraf industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.

“Seiring perkembangan semasa, TVET kini tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi antara pemacu utama dalam pembangunan modal insan mahir negara,” katanya.

KKPB menawarkan tiga program utama iaitu Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan, Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Teknologi Elektrik.

-RI

Tinggalkan komen anda