Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Minyak Sekiu Warisan Tradisi Masyarakat Melanau Jadi Nadi Ekonomi Di Matu

By 6 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhafizah Yusof/Nurhayati Abdul Halim (Sarawak)

MATU, 6 April (MalaysiaAktif) – Keunikan khazanah alam di Kampung Jemoreng terus mencuri perhatian apabila minyak sekiu menjadi simbol warisan dan sumber ekonomi komuniti setempat.

Tradisi turun-temurun masyarakat Melanau ini bukan sahaja memelihara warisan kulinari malah membuka peluang ekonomi baharu melalui penghasilan minyak bernilai tinggi.

Ketua Kampung Jemoreng Mesaleh Shahdan, 73, berkata minyak sekiu telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat di daerah Matu.

Mesaleh  menjelaskan penggunaan minyak sekiu telah menjadi sebahagian daripada warisan dan kehidupan harian masyarakat di Kampung Jemoreng sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan minyak sekiu bukan sekadar bahan di dapur malah menyimpan nilai perubatan tradisional yang tinggi untuk merawat masalah kulit.

“Minyak ini dipercayai mampu merawat masalah kesihatan selain digunakan dalam urutan tradisional sejak zaman dahulu lagi,” katanya kepada MalaysiaAktif kelmarin.

Proses penghasilan minyak sekiu memerlukan ketelitian tinggi bermula daripada memetik buah yang matang, menjemur serta menumbuknya secara kasar.

Isi buah tersebut kemudiannya dipanaskan secara perlahan di atas api kayu sehingga mengeluarkan minyak berwarna kuning keemasan.

Minyak tersebut ditapis dan dibotolkan dengan teliti bagi memastikan kualitinya sentiasa terpelihara sebelum dipasarkan kepada pembeli.

Minyak sekiu yang telah dibotolkan mengikut saiz 700ml dan 50ml.

Keaslian proses tradisional menjadikan produk eksklusif ini mencecah harga sehingga RM500 bagi botol saiz besar mengikut permintaan pasaran.

Nilai tinggi tersebut dipengaruhi oleh bekalan yang terhad kerana pokok sekiu dilaporkan hanya berbuah sekali dalam tempoh lima tahun.

Minyak sekiu yang kaya dengan vitamin E dipercayai memberi manfaat kepada kesihatan kulit serta jantung selain menjadi pelengkap hidangan nasi panas.

“Minyak sekiu mempunyai segala prasyarat untuk diangkat sebagai produk ikonik Sarawak yang mampu memacu ekonomi desa,” ujar Mesaleh.

Produk dari Kampung Jemoreng ini berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa dengan sokongan pihak berkaitan secara berterusan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda