Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Padah Buang Sampah Merata, Beberapa Individu Termasuk Warga Asing Ditahan dan Disaman

By 7 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/SWCorp Daerah Rompin

ROMPIN, 7 April (MalaysiaAktif) – Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu termasuk warga asing yang membuang sampah kecil merata-rata akhirnya menerima padah apabila ditahan dan disaman dalam Operasi Penguatkuasaan Sampah Kecil (Ops Cegah) yang dijalankan di sekitar Bandar Kuala Rompin dan Pantai Hiburan, di sini semalam.

Sekumpulan warga asing turut ditahan kerana kesalahan membuang putung rokok merata-rata dalam operasi Ops Cegah yang diadakan semalam.

Operasi oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cawangan Daerah Rompin itu memfokuskan kawasan tumpuan awam yang sering menjadi tumpuan pelancong dan rekreasi, namun tercemar akibat sikap segelintir pengunjung yang tidak mengendahkan kebersihan.

Pengurus Cawangan SWCorp Daerah Rompin Mohamad Faizal Abdullah berkata operasi tersebut dilaksanakan bagi membendung tabiat membuang sampah kecil seperti puntung rokok, plastik dan tisu secara sewenang-wenangnya yang boleh menjejaskan imej kawasan pelancongan seperti Pantai Hiburan.

“Tindakan siasatan dan pendakwaan akan dijalankan di bawah Seksyen 77A, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Seorang warga asing turut disaman kerana membuang sampah kecil merata-rata di Taman Rekreasi Bandar Kuala Rompin.

Menurutnya, pelaksanaan Op Cegah bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai pendekatan pendidikan kepada masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran.

“Kawasan awam seperti Pantai Hiburan seharusnya menjadi contoh kepada tahap kebersihan yang tinggi memandangkan ia sering dikunjungi pelancong tempatan dan luar.

“Kesedaran sivik perlu dipupuk secara berterusan. Kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang berkaitan pengurusan sisa pepejal.

-RI

Tinggalkan komen anda