
Laporan/foto: Mazlin Basir (Pontian)
PONTIAN, 10 April (MalaysiaAktif) – Pasukan Pancaragam Sekolah-Sekolah Pasir Gudang atau Pasir Gudang School Band (PGSB) diberi kepercayaan mempersembahkan Lagu Bangsa Johor serta memainkan beberapa lagu semasa jamuan dalam Majlis Ikrar Taat Setia Sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, semalam.

Intan Nasrina Aleesya daripada SMK Pasir Gudang 2 bersama alat muzik trombon
Pengurus kumpulan pancaragam Wardah Ismail berkata penglibatan itu satu penghormatan kepada PGSB kerana berpeluang membuat persembahan dalam majlis rasmi berprotokol tinggi dihadiri wakil Sultan Johor iaitu Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal selepas tujuh tahun majlis berkenaan tidak diadakan susulan pandemik COVID-19.
“Sebelum pandemik melanda negara, PGSB aktif menyertai pelbagai pertandingan dengan pencapaian tertinggi meraih Anugerah Perak dalam Pertandingan Wind Orchestra Kebangsaan anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Pasukan pancaragam ini juga turut sering membuat persembahan semasa kejohanan olahraga di sekolah-sekolah ahli serta beberapa sekolah di sekitar daerah Pasir Gudang,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Kumpulan PGSB membuat persembahan lagu-lagu ketika jamuan sempena Majlis Ikrar Taat Setia
Pasukan pancaragam itu melibatkan 60 pelajar daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang 1, SMK Pasir Gudang 2 dan SMK Pasir Gudang 3.
Sementara itu, seorang ahli pancaragam, Intan Nasrina Aleesya, 16, dari SMK Pasir Gudang 2 berkata beliau gembira dan teruja dapat membuat persembahan menggunakan alat muzik trombon serta berharap pasukan itu dapat kembali menyertai pertandingan peringkat kebangsaan pada masa hadapan.
-AA-





