
Laporan/foto: Nur Imanina/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 14 April (MalaysiaAktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap impak konflik baharu di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu kerana disifatkan mampu mencetuskan krisis ekonomi, tenaga dan makanan dunia dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang.
Baginda bertitah demikian dalam Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Baginda menegaskan bahawa negara tidak boleh bersikap sebagai penonton pasif terhadap ancaman geopolitik yang kompleks itu.

Sultan Nazrin memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Dewan Negeri Perak, di sini hari ini.
“Bagi tahun 2026, ekonomi negara diunjurkan pada asalnya berkembang sekitar empat hingga lima peratus.
“Apa juga unjuran dan harapan cerah ekonomi Malaysia, bertukar wajah setelah tercetusnya konflik baru di Asia Barat,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, konflik membabitkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran itu bukan sekadar percaturan ketenteraan malah, memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi global termasuk Malaysia yang memiliki ekonomi terbuka.
“Negara berkemungkinan menghadapi risiko darurat tenaga dan bekalan makanan. Kerajaan beta tidak boleh berpeluk tubuh, bersikap penonton yang pasif.
“Sebaiknya kerajaan beta hendaklah melihat krisis yang sedang berlaku sebagai loceng amaran untuk merintis langkah-langkah proaktif, langkah kurang kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai penyelesaian jangka panjang,” titah baginda.
Baginda menekankan bahawa pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro serta peralihan kepada kenderaan elektrik kini merupakan satu keperluan strategik yang wajib disegerakan bukan lagi sekadar pilihan.
Menyentuh mengenai suasana domestik, Sultan Nazrin menyeru semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang, untuk mencari titik pertemuan dan bekerjasama demi kesejahteraan rakyat.
“Ini bukan masanya untuk menangguk di air keruh, mensensasikan dan mengeksploitasi keadaan bagi tujuan politik yang sempit.
“Anggota Dewan Negeri baik dipihak kerajaan begitu juga di barisan pembangkang, pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin-pemimpin masyarakat, begitu juga pihak swasta dan kerajaan, hendaklah mencari titik pertemuan dan persamaan, menunjukkan semangat bersatu, saling bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda,” tegas baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa kekuatan ekonomi domestik perlu diperkukuhkan, kestabilan kewangan dijaga dan perpaduan rakyat dipelihara sebagai aset paling berharga dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sultan Nazrin juga menitahkan agar rakyat diberikan kefahaman yang jelas mengenai punca dan magnitud krisis yang berlaku serta implikasinya terhadap kehidupan harian melalui pelan komunikasi yang berkesan.
Tegas baginda, bahasa yang digunakan dalam penyampaian maklumat kepada rakyat perlu dipermudahkan agar masyarakat lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen atau berita sensasi yang tidak benar.
-RI





