
Laporan/foto: Amiruddin Adli/Shawani Kamil
KUALA TERENGGANU, 15 April (MalaysiaAktif) – Dua beradik yang tular kerana memberikan duit raya kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam, menerima kejutan hadiah balas berupa peranti iPad dan sumbangan peribadi daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dua beradik melihat video mereka yang tular di media sosial
Aesha Khadeejah Anuar, 10, dan adiknya, Uwais Al Qarni, 8, turut menerima kelengkapan sekolah tanda penghargaan daripada pemimpin nombor satu negara itu atas keikhlasan mereka.
Sumbangan tersebut disampaikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif yang hadir mewakili Anwar di kediaman mereka di Ladang Titian,di sini.
Sementara itu, Anwar menerusi perkongsian di laman Facebooknya mengakui tersentuh dengan pemberian wang tersebut yang disifatkan sebagai simbol keikhlasan dan kasih sayang yang merendahkan jiwa.
“Melihat wajah-wajah ini, terbit rasa sayu dan kasih. Amanah kita adalah memastikan setiap anak Malaysia dibesarkan dengan kasih sayang, didikan baik dan peluang yang adil,” katanya.
Abdul Kahar yang menyampaikan amanah tersebut turut menitipkan pesanan daripada Perdana Menteri agar kedua-dua beradik itu belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang cemerlang.
-AA-





