
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
GOMBAK, 19 Apr (MalaysiaAktif) – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 kini dilaporkan sedang menghampiri Sicily, Itali selepas berdepan cabaran cuaca buruk yang memaksa pelayaran tertangguh selama dua hari di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata faktor keselamatan menjadi keutamaan ekoran ramalan ribut di laut, menyebabkan kapal terpaksa berhenti seketika bagi memastikan laluan angin kembali stabil sebelum meneruskan pelayaran.
Beliau yang merupakan Ketua Delegasi Malaysia, berkata selepas melepasi Itali, peserta misi dijadualkan melalui beberapa lagi titik pemeriksaan penting termasuk Greece, Istanbul dan Cyprus bagi memastikan bantuan serta mesej keamanan dapat disampaikan dengan berkesan.
“Saya sendiri akan kembali menyertai misi ini sebaik sahaja urusan fasa pertama selesai bagi memastikan keadaan kesemua peserta berada dalam tahap kesihatan yang baik dan selamat,” katanya kepada media, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin turut mengulas mengenai perkembangan diplomatik di peringkat antarabangsa membabitkan tindakan parlimen Israel yang meluluskan hukuman mati tanpa rayuan ke atas tahanan Palestin.
Beliau berkata dua Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Bahtiar Wan Chik telah dinamakan untuk ke Brussels bagi menyertai konvensyen antarabangsa tersebut.
“Kita mengharapkan antara enam hingga lapan Ahli Parlimen daripada pelbagai blok parti termasuk UMNO dan PAS akan menyertai delegasi ini sebagai simbolik kesepakatan suara hati rakyat Malaysia,” tambahnya.
-AA-





