
Laporan/foto: Eliasak Omar/Facebook TYT Pulau Pinang
SUNGAI LOKAN, 19 April (MalaysiaAktif) – Perasmian Masjid Jamek Nurul Hidayah oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib menjadi detik signifikan mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkasa institusi Islam serta memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
Masjid yang asalnya dikenali sebagai Masjid Sungai Lokan itu dibina sekitar 1865 oleh Allahyarham Penghulu Hamat Mohamed Arshad, sebelum dijenamakan semula sebagai Masjid Nurul Hidayah pada 2000 selari dengan perkembangan pesat komuniti setempat.
Timbalan Ketua Menteri 1 Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid berkata pembinaan masjid yang bermula pada 31 Oktober 2022 dan siap sepenuhnya pada 27 Ogos 2024 itu melibatkan kos keseluruhan RM5.3 juta, merangkumi sumbangan Kerajaan Persekutuan (RM2.75 juta), kerajaan negeri (RM1.25 juta) serta anak kariah (RM1.3 juta).
“Masjid ini kini mampu menampung sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa dan dilengkapi kemudahan moden seperti sistem pendingin hawa, karpet, kerja elektrik serta pagar keselamatan sekali gus meningkatkan keselesaan dan kualiti pengimarahan ibadah,” katanya, di sini kelmarin.
Lebih daripada sekadar ruang ibadah, pembangunan semula masjid itu memberi impak langsung kepada komuniti setempat sebagai pusat penyatuan masyarakat, pengukuhan nilai kekeluargaan serta pemangkin aktiviti keagamaan, pendidikan dan sosial yang lebih tersusun dan inklusif.
-AA-





