
Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sibu)
SIBU, 19 April (MalaysiaAktif) – Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Peringkat Bahagian Sibu 2026 menjadi platform efektif bagi memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui pendekatan inklusif.
Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata penganjuran RSK berperanan sebagai medium integrasi masyarakat menerusi pelbagai pengisian berbentuk akademik dan sosial.
Beliau menjelaskan program tersebut merangkumi aktiviti ceramah, pameran agensi, sukan rakyat serta sesi dialog komuniti bagi meningkatkan pemahaman rakyat terhadap dasar kerajaan.
“Pendekatan ini membuka ruang interaksi membina dan menjadi asas penting kepada pembangunan masyarakat yang progresif,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan program tersebut di Rumah Dick Ak Ijau, Jalan Oya Lama, di sini semalam.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu diperluaskan ke kawasan luar bandar lain agar lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.
“Kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan rakyat yang membolehkan segala cabaran ditangani dengan lebih berkesan apabila semua pihak bersatu padu,” katanya.
Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu turut mendapat kerjasama Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Sibu.
-RJ-





