Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Program Derma Darah Perlu Diperkasa Secara Konsisten di Komuniti

By 20 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Normaisarah Abd Rahman/Ahmad Idham Abd Hamid (Bukit Bintang)

KUALA LUMPUR, 20 April (MalaysiaAktif) – Program derma darah perlu diperkasakan secara konsisten di peringkat komuniti bagi membudayakan amalan mulia itu sebagai satu tanggungjawab sosial yang berterusan.

Wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MMP) Sub Zone 6 Bukit Bintang Peter Siow Chee Kheong berkata kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan sukarelawan memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif kebajikan itu demi kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

“Permintaan terhadap bekalan darah sentiasa tinggi, terutama bagi kes kecemasan dan pesakit kronik, jadi kesedaran orang ramai untuk tampil menderma amat penting bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“Kita juga mahu lebih ramai khususnya golongan muda dan penderma kali pertama tampil ke hadapan kerana kesedaran ini perlu dipupuk sejak awal,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif pada Program Derma Darah MADANI anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bintang, di sini semalam.

Program dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat, MPP Bukit Bintang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bulan Sabit Merah Malaysia serta Pusat Darah Negara itu mendapat sambutan kira-kira 71 penderma dari komuniti Kampung Baru Salak Selatan.

Dengan setiap seorang penderma menderma satu beg darah atau 450 milileter (ml), program berkenaan sedikit sebanyak membantu menambah stok bekalan darah negara.

Sementara itu, Pusat Darah Negara memaklumkan keperluan bekalan darah adalah berterusan setiap hari bagi menampung penggunaan dalam kes kemalangan, pembedahan, rawatan pesakit talasemia, kanser serta ibu yang mengalami komplikasi ketika bersalin.

Bagaimanapun, bekalan darah sering berkurangan terutamanya pada musim cuti panjang, perayaan dan ketika kurangnya penganjuran kempen derma darah.

Setiap satu pendermaan darah juga katanya berpotensi menyelamatkan sehingga tiga nyawa justeru, kesedaran masyarakat untuk tampil menderma darah secara berkala amat penting bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan stabil.

-FN

 

Tinggalkan komen anda