
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnanini (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 20 April (MalaysiaAktif) – Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu yang bakal dibina di Pulau Duyung, di sini bakal menjadi mercu tanda baharu sukan air negeri itu.
Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari kompleks sukan air yang dibangunkan di atas kawasan seluas 60,000 kaki persegi itu amat bertepatan dengan keperluan setempat serta berupaya menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu.
“Fasiliti ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan lebih ramai atlet sukan air yang berdaya saing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Fiesta Rakan Muda X Play True Day Peringkat Negeri Terengganu dan Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu yang berlangsung di Pulau Duyung, di sini kelmarin.
Mohammed Taufiq berkata komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan belia tidak hanya terhad kepada pelaksanaan program semata-mata, malah turut diperkukuhkan melalui penyediaan infrastruktur yang berkualiti.
Beliau berharap inisiatif pembangunan Kompleks Sukan Air ini akan menjadi titik permulaan kepada lebih ramai belia Terengganu untuk melakar kejayaan serta mengharumkan nama negara di persada dunia.
-RI





