Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pelajar KV Keningau Raih Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan

By 21 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Said Kalihing / KV Keningau (Keningau)

KENINGAU, 21 April (MalaysiaAktif) – Pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Vokasional (KV) Keningau diangkat sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan bagi program tersebut tahun ini pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Zon Sabah-Labuan 2026, Sabtu lepas.

Siti Nur Hanisah Omar Hashim, 20, sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila tersenarai sebagai finalis Global Student Prize 2025 iaitu anugerah paling berprestij bagi meraikan bakat komuniti pendidikan di seluruh dunia.

Baginya, kejayaan tersebut dapat digapai hasil dorongan kuat semua pihak terutama ibu bapa dan warga pendidik yang tidak pernah berputus asas memberikan yang terbaik dalam apa juga keperluan pendidikan mahupun emosi.

“Saya bersyukur atas pencapaian yang diraih ini dan menghargai sokongan semua pihak yang banyak membantu saya sepanjang pengajian. Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil sokongan berterusan daripada kedua ibu bapa, para pendidik serta rakan-rakan yang sentiasa memberi dorongan dan kepercayaan kepada saya untuk terus melangkah jauh,” katanya ketika ditemui semasa majlis konvokesyen berkenaan.

Anugerah berupa sijil penghargaan, plak serta wang tunai berjumlah RM1,000 itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Joachim Gunsalam.

Pengarah KV Keningau Lumang Lang memberitahu pengiktirafan tersebut membuktikan institusi vokasional di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mampu melahirkan generasi berpotensi tinggi yang memberi impak kepada masyarakat.

Beliau berharap kecemerlangan Siti Nur Hanisah menjadi inspirasi kepada pelajar lain di Sabah untuk terus berusaha mencapai kejayaan membanggakan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Untuk rekod, projek mengitar tinggi fabrik terpakai kepada patung interaktif ciptaan Siti Nur Hanisah turut merangkul pingat dalam pertandingan Pitchbah serta menerima geran antarabangsa YouthMADE Festival Amplify Grant.

Pencapaian luar biasa itu mencerminkan kualiti sistem pendidikan kemahiran dalam melahirkan usahawan dan inovator muda yang berdaya saing di peringkat global.

-RJ-

Tinggalkan komen anda