
Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 21 April (MalaysiaAktif) – Program Ekonomi Kitaran Komuniti memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap pengurusan sisa buangan, khususnya sisa minyak.
Penolong Pengarah (Seksyen Pendidikan Masyarakat) SWCorp Malaysia Negeri Melaka Siti Rohayu Mohd Isa berkata pendekatan ekonomi kitaran bukan sahaja berpotensi menjana sumber pendapatan baharu, malah mampu memastikan pelupusan sisa dilaksanakan secara lebih sistematik dan lestari.
“Setiap individu dianggarkan menghasilkan kira-kira satu kilogram sisa buangan, terutamanya sisa makanan setiap hari, sekiranya tidak diurus dengan efisien, situasi ini berupaya memberi tekanan besar kepada kapasiti pelupusan sisa.
“Ia sekali gus menjadikan isu pengurusan sampah sebagai cabaran utama pada masa hadapan,” katanya di Koperasi Kampung Bukit Bulat, di sini semalam.
Program anjuran SWCorp Malaysia Negeri Melaka dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya itu berjaya menarik penyertaan penduduk setempat.
Program ini turut menampilkan inovasi kreatif melalui penghasilan cenderamata berasaskan fiber kulit durian oleh Dr. Mizah Ramli daripada Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal serta Dr. Nur Fatihah Azmi daripada Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer, UTeM.
-RI





