
Laporan/foto: Barina Nani/Mohamad Rizal Matasan (Sarawak)
KUCHING, 21 April (MalaysiaAktif) – Pembukaan Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum mampu memperkukuh usaha pemuliharaan warisan negeri di samping merancakkan sektor pelancongan Sarawak dengan potensi menarik lebih ramai pengunjung.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata projek transformasi limbungan kapal kepada muzium itu melibatkan kos kira-kira RM46.7 juta.

Abdul Karim berucap pada majlis perasmian limbungan kapal tertua Malaysia yang kini diiktiraf sebagai Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum bagi mempamerkan evolusi Revolusi Perindustrian Sarawak di Kuching malam tadi.
Beliau menjelaskan Brooke Dockyard merupakan limbungan kapal tertua di Malaysia yang kini beralih daripada tapak perindustrian kepada arkib hidup bagi mempamerkan sejarah Revolusi Perindustrian di Sarawak.
“Muzium ini mengetengahkan koleksi jentera berat serta struktur kejuruteraan unik yang pernah memacu operasi harian limbungan untuk tatapan generasi masa hadapan,” katanya kepada Malaysia Aktif hari ini.
Abdul Karim memberitahu pembukaan muzium tersebut bukan sahaja memperkaya portfolio pelancongan negeri malah turut menyokong pembangunan pendidikan khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau menjelaskan inisiatif itu selari dengan Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga yang menyasarkan peningkatan jumlah pelancong kepada 12.7 juta orang menjelang 2035.

Antara koleksi artifak yang dipamerkan di Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum termasuk sauh, kipas kapal dan jentera industri lama yang mencerminkan evolusi perkapalan di Sarawak.
Sasaran tersebut dijangka mampu memberikan pulangan ekonomi mencecah RM50 bilion kepada kerajaan negeri melalui kepelbagaian produk pelancongan warisan.
Pemuliharaan tapak ikonik itu membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam mengekalkan identiti sejarah di tengah-tengah kepesatan pembangunan moden.
Muzium berkenaan kini dibuka kepada orang awam bagi memberikan pengalaman pembelajaran secara interaktif mengenai evolusi maritim dan kejuruteraan negeri.
-RJ-





