
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 21 April (MalaysiaAktif) – Pesta Kaul Mukah 2026 yang dijadual bermula Sabtu ini sehingga 3 Mei depan dijangka menarik kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata jangkaan itu berdasarkan sambutan yang semakin meningkat setiap tahun serta kepelbagaian program menarik yang disusun oleh Persatuan Melanau Mukah (PMM) dengan kerjasama agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi edisi kali ini.
Beliau menjelaskan festival bertemakan ‘Berbudaya Terus Maju’ itu akan terus mengetengahkan keunikan kesenian dan kebudayaan masyarakat Melanau kepada pelancong dari dalam serta luar negeri.

Tapow atau Penutup Kepala Gergasi bakal menjadi tarikan pengunjung di Gerai Komuniti Pesta Kaul Mukah kelak.
“Pesta Kaul Mukah 2026 menjadi platform penting untuk mempamerkan warisan tradisi kita kepada dunia luar,” katanya kepada Malaysia Aktif semasa lawatan tapak di Pantai Kala Dana, di sini hari ini.
Beliau berkata penyertaan gerai komuniti pada festival itu bukan sahaja melibatkan kaum Melanau malah turut disertai etnik Iban, Cina dan Bidayuh yang akan mempamerkan kebudayaan masing-masing sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Para wanita daripada JKKK turut mengambil bahagian dalam membuat pesiapan akhir di Tapak Gerai Komuniti Pesta Kaul Mukah 2026.
Royston memaklumkan persiapan fizikal di lokasi kini telah mencapai 80 peratus merangkumi penyediaan infrastruktur gerai, pentas utama serta aspek kawalan keselamatan.
Pesta Kaul merupakan perayaan tradisi masyarakat Melanau sebagai tanda kesyukuran serta memohon kesejahteraan dan kini telah menjadi antara tarikan pelancongan ikonik di Bahagian Mukah.
-RJ-





