
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kudat)
KUDAT, 22 April (MalaysiaAktif) – Masyarakat perlu sentiasa berwaspada dengan aktiviti yang boleh menjadi punca kepada kebakaran, kata Pegawai Daerah Kudat Charles William Dabbi.
Beliau berkata masyarakat juga perlu menjalin kerjasama baik dengan pihak berkuasa khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terutama dalam menghadapi sebarang insiden kecemasan lebih-lebih lagi ketika cuaca panas dan kering.
“Kudat sebelum ini merekodkan kejadian kebakaran hutan yang agak kerap. Justeru, masyarakat perlu sentiasa berwaspada dan membantu pihak bomba dalam usaha mencegah serta menangani kebakaran,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Gumpa di sini pada Selasa.
PPS tersebut menempatkan 67 mangsa kebakaran yang memusnahkan lapan buah rumah di kampung berkenaan pada 16 April lalu.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kudat berkata pihaknya sentiasa memastikan kebajikan mangsa terjamin terutama berkait keperluan makanan dan penjagaan kesihatan.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan bantuan makanan dan keperluan asas dapat disalurkan kepada semua mangsa terlibat. Mangsa juga menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan asas disalurkan kerajaan.
“Bantuan turut disalurkan melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), selain sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu perseorangan serta pemimpin tempatan,” katanya.
-RJ





